fb fb fb fb fb

Penganjuran Program 6,600 Langkah Perpaduan, semarak Bulan Kebangsaan 2023

KUALA LUMPUR, 11 Julai- "Program 6,600 Langkah Perpaduan" merupakan acara kemuncak Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang bakal berlangsung pada 16 Julai ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh.

Bagi menyemarakkan acara, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching mempelawa orang ramai untuk menyertai program yang penuh bermakna itu.

"Kita akan bermula dengan Program Langkah 6,600. Program itu terbahagi kepada dua kategori iaitu "Fun Run" sejauh 4.8km yang mana itu adalah terbuka kepada semua peserta.

Kategori kedua pula sejauh 1.2km, khas untuk warga emas, kanak-kanak dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Pemilihan nombor 66 itu adalah bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara yang ke-66," kata Teo Nie Ching kepada pemberita selepas beliau menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia, pagi tadi.


(Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie ChingĀ memaklumkan perkara
tersebut dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, hari ini)

Katanya, pelbagai acara menarik turut diadakan bermula 15 Julai.

Antaranya, Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk "Legasi Merdeka" pada pukul 9.00 malam, 15 Julai serta Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 yang akan bermula pada 16 Julai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 berkenaan pada pukul 9.00 pagi dan akan melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 di lokasi sama.

"Kepada seluruh rakyat Malaysia, ayuh kita berjumpa di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh untuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan 2023 pada 16 Julai ini. Pelbagai program menarik disediakan kepada anda. Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga akan turut hadir di sana," tambahnya.

Media Baharu