fb fb fb fb fb

Ahli politik diminta elak sebar berita palsu - Teo

(Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching)

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Ahli politik perlu menghindarkan diri daripada menyebarkan berita palsu menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berkata ini kerana pada kebiasaannya menjelang pilihan raya, banyak berita yang tidak tepat atau berita palsu akan timbul.

“Jadi sebagai ahli politik, kita kena ada prinsip sikit, jangan jadi ‘orang’ yang menyebarkan berita palsu, ini juga satu peringatan untuk diri saya sendiri.

“Semua rakan-rakan di luar sana sama ada dalam parti yang sama atau tidak, yang penting kita kena ingat sebagai Ahli Parlimen, wakil rakyat atau ahli politik kita semua adalah rakyat Malaysia, jadi janganlah buat apa-apa yang boleh merosakkan negara tercinta,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menjadi tetamu pada program Selamat Pagi Malaysia di Angakasapuri.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan "Program 6,600 Langkah Perpaduan" menjadi acara kemuncak sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang bakal berlangsung 16 Julai ini.


(Orang ramai dipelawa sertai program 6,600 Langkah Perpaduan pada 16 Julai ini di Meru Raya
sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023/ FB  Merdeka360)

Majlis pelancaran yang akan diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh itu bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula pukul 9 pagi.

"Program kita akan bermula dengan "Program 6,600 Langkah Perpaduan" . Ada dua bahagian iaitu 'fun run' sepanjang 4.8km iaitu untuk kategori terbuka dan satu lagi 'fun walk' yang sepanjang 1.2km khasnya untuk warga emas, kanak-kanak dan golongan OKU," katanya.

Tambah Teo, pelbagai acara telah diatur sempena pelancaran bulan kebangsaan bermula 15 Julai ini, antaranya Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk "Legasi Merdeka" serta Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023.

Media Baharu