fb fb fb fb fb

Hari Penduduk Sedunia 2023: Tangani isu kependudukan secara inklusif

KUALA LUMPUR, 11 Julai- "Mengorak Kuasa Kesaksamaan Gender: Memperkasa Suara Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan Bagi Membuka Peluang Dunia Tanpa Batas," merupakan tema Hari Penduduk Sedunia bagi sambutan 2023.
 
Menerusi kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata tema tersebut adalah selaras dengan inisiatif semasa kerajaan untuk menangani isu kependudukan secara kolektif dalam usaha memperkasa peranan wanita dan mengarus perdana gender dalam pembangunan negara.

KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berpendapat bahawa sambutan Hari Penduduk wajar diberi perhatian dan dijadikan platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu dan cabaran semasa kependudukan di negara ini lebih-lebih lagi berkaitan isu kesaksamaan gender.


(Foto hiasan)

"Ini adalah selaras dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memartabatkan kumpulan sasar KPWKM menerusi komitmen negara di bawah Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Hak Asasi Orang Kurang Upaya (CRPD)", menurut kenyataan itu.

KPWKM dengan kerjasama DOSM, UNFPA dan Universiti Malaya (UM) akan melaksanakan satu forum berkaitan kependudukan yang bakal mengupas dan menjelaskan tema tersebut.

"Forum tersebut akan diadakan pada penghujung Julai ini melibatkan barisan panel yang mempunyai kepakaran dalam isu kependudukan dan kesaksamaan gender.

Malaysia juga menzahirkan komitmen dan solidariti bersama negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk merealisasikan agenda Matlamat 5 Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Maklumat lanjut mengenai sambutan Hari Penduduk Sedunia 2023 dan PERKKS 23 boleh dilayari di laman web LPPKN: www.lppkn.gov.my atau laman web Malaysian Population Research Hub LPPKN: https://mprh.lppkn.gov.my/.

Media Baharu