fb fb fb fb fb

Mesyuarat JKMD: Kerajaan tukar pendekatan perangi dadah

(FOTO FB Azalina Othman Said)

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 diadakan buat pertama kalinya, semalam.

Ia dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi menangani isu penyalahgunaan dadah di Malaysia.

Melalui kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kerajaan ingin menggunakan pendekatan terhadap kebergantungan kepada dadah secara berhati-hati.

Menurut Azalina, intervensi perubatan, rawatan, dan rehabilitasi akan dijadikan tumpuan dalam usaha kerajaan menukar pendekatan menangani isu kebergantungan dadah.

Dalam tempoh enam bulan pertama pemerintahan, kerajaan MADANI telah menghapuskan hukuman mati mandatori antaranya bagi kesalahan yang berkaitan dengan dadah dan memberi budi bicara kepada kebijaksanaan hakim bagi penentuan hukuman.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri juga sedang mengkaji mewujudkan sebuah majlis hukuman bagi meneliti semua hukuman jenayah termasuk hukuman berkaitan dadah.

Ia termasuk menyediakan garis panduan dan pengurangan hukuman penjara dan menggalakkan hukuman rehabilitasi dan hukuman restoratif dalam undang-undang jenayah.

Selain itu, penilaian juga dibuat untuk pindaan Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 bagi menggalakkan rehabilitasi berasaskan komuniti, dan bukan penjara bagi pesalah yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan ke bawah, terutama bagi pesalah kali pertama.


(FOTO HIASAN)

Media Baharu