KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu terus mempergiat usaha ke arah meningkatkan lagi pengambilan dos penggalak di negeri itu yang masih rendah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, ketika ini hanya 27.6 peratus atau kira-kira 200,000 individu telah disuntik dos berkenaan.
Katanya, sebanyak 78 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka termasuk 41 (PPV) di klinik swasta bagi memudahkan orang ramai mendapatkan suntikan.
"Kapasiti kita boleh suntik sebanyak 10,380 suntikan sehari dan sekarang ini kita masih ada berbaki 538 ribu vaksinasi yang layak.
Jadi kemungkinan kalau semuanya datang mengikut temujanji yang MySejahtera berikan, dalam pertengahan Mac kita boleh capai hampir 100 peratus," katanya selepas mengadakan lawatan ke PPV Kuala Terengganu Medical Centre.