fb fb fb fb fb

PR1MA: Fokus golongan M40 miliki rumah mampu milik pasca PKP

PETALING JAYA, 13 Januari - Pembangunan projek-projek rumah mampu milik Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Kuala Lumpur dan Selangor kini telah dirancakkan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diyakini mampu menggiatkan pemilikan rumah dalam kalangan M40.

Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari bin Mat Jahya berkata, pelaksanaan PKP sejak Mac 2020 menyebabkan proses pembinaan terpaksa diperlahankan sekaligus kelewatan dalam penyiapan projek dan kini dirancakkan semula dengan sasaran tarikh siap yang baru.

"Saya mengambil maklum bahawa kelewatan ini telah menyebabkan para pembeli mengalami kesukaran.

"Namun, kami di PR1MA berusaha memastikan pelan mitigasi projek-projek sakit terutamanya yang terkesan akibat daripada penutupan sektor ekonomi ketika PKP berada dalam senarai keutamaan.

"Kami juga ingin memberi peringatan kepada kontraktor dan konsultan untuk menyiapkan projek-projek ini mengikut perjanjian yang telah dimeterai dan kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya selepas selesai program Jelajah #PR1MAKita, semalam.

Di Selangor, PR1MA mempunyai lima projek, iaitu dua di Kajang, dua di Cyberjaya dan satu di Bandar Bukit Mahkota, dan daripada jumlah tersebut, tiga telah siap, manakala dua masih dalam pembinaan.

Manakala di Kuala Lumpur pula, PR1MA mempunyai tiga projek dan dua telah disiapkan manakala satu masih dalam pembinaan.

Tambah beliau projek-projek PR1MA dilaksanakan dengan matlamat untuk menyediakan kediaman yang selesa, berkualiti dan berpatutan kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di ibu kota dan kawasan sekitarnya.

"Dua projek dikategorikan sebagai projek sakit iaitu Residensi Bandar Bukit Mahkota dan Residensi Brickfields diberikan perhatian khusus dan langkah untuk menambah pekerja di tapak sudah dilaksanakan untuk mempercepatkan proses penyiapan projek.

"Kedua-dua projek ini yang terletak di lokasi strategik dan mendapat sambutan memberangsangkan dari segi jualan.

"Residensi Bandar Bukit Mahkota terjual sebanyak 77 peratus, manakala Residensi Brickfields terjual sebanyak 95 peratus," katanya.

Sebelum ini, pihak pengurusan PR1MA telah melakukan lawatan ke projek sakit PR1MA di Utara Semenanjung Melaka dan Negeri Sembilan.

Untuk sebarang maklumat mengenai PR1MA, sila layari laman sesawang PR1MA di www.pr1ma.my atau hubungi Pusat Panggilan PR1MA di 03-7628 9898 (tutup pada cuti umum di Negeri Selangor) atau e-emel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Media Baharu