KUALA LUMPUR, 13 Januari - Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan ramalan mengenai amaran hujan berterusan dan angin kencang di Sarawak sehingga Sabtu ini.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia membabitkan amaran hujan Berterusan Buruk dan Waspada di 10 kawasan di negeri itu.
"Amaran hujan berterusan (Buruk) membabitkan 10 kawasan iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song) dan Bintulu (Tatau).
Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dijangka berlaku sehingga Sabtu ini membabitkan tiga kawasan iaitu Kapit, Bintulu dan Miri," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, angin bertiup kencang dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir.