fb fb fb fb fb

Pengambilan khas guru baharu: 16,381 telah dilantik sejak tahun lalu

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Urusan pengambilan khas guru baharu secara sekali ambil telah selesai dilaksanakan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin, seramai 16,381 orang guru telah dilantik dan ditempatkan di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sejak tahun lalu.

Seramai 13,770 orang adalah lantikan tetap, manakala 2,611 lantikan secara perkhidmatan kontrak (CoS).

"Antara kekangan utama kita daripada 18,000 tadi kita dapati 88 peratus kita tak dapat dalam 2,321 antara subjek paling utama adalah Bahasa Inggeris. Maknanya walaupun kita telah buka kepada mereka yang tidak ada ikhtisas kita masih belum mendapat calon yang mencukupi dan memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk dilantik untuk mata pelajaran tersebut. Jadi cabaran kita adalah dalam konteks mata pelajaran tertentu Bahasa Inggeris dan di SJKC sebagai contoh. Jadi ini akan diisi melalui pengambilan biasa yang sebelum ini dibuat oleh SPP seperti tahun-tahun sebelum," katanya dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat di Parlimen.


(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin)

Beliau menjawab soalan tambahan ahli parlimen Kulai, Teoh Nie Ching.

Tahun lalu, KPM memperuntukkan kuota pengambilan khas 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM seluruh negara.

Media Baharu