fb fb fb fb fb

Kajian cuti haid, subsidi tuala wanita dijangka selesai Oktober ini - Siti Zailah

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Kajian terperinci berhubung pemberian subsidi tuala wanita sedang dijalankan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata ia melibatkan 50,000 responden wanita yang dijangka siap Oktober depan.

Dapatan kajian itu diyakini mampu memberi pendekatan lebih komprehensif dan bersasar bagi menangani isu kemiskinan haid.

"Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila individu tidak dapat akses kepada tuala wanita akibat kekangan kewangan. Kementerian berpandangan kajian lanjut perlu dilaksanakan untuk keperluan pemberian subsidi tuala wanita supaya kerajaan dapat gambaran berhubung isu ini. Dapatan kajian beri pendekatan lebih komprehensif dan bersasar bagi tangani isu ini. LPKN dah buat," katanya.

Dalam Bajet 2022, Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM10 juta bagi keperluan kit asas kebersihan kepada wanita B40.

Setakat ini, lebih 100,000 pelajar seluruh negara telah menerima manfaat inisiatif berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan Siti Zailah turut memberitahu, keperluan cuti haid kepada pekerja wanita memerlukan perbincangan secara kolektif bersama pemegang taruh.

Katanya kementerian prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan berkenaan, namun perkara itu akan memberi implikasi kepada produktiviti dan ekonomi negara.

"Kementerian berpandangan pengenalan cuti haid memerlukan penelitian lanjut dengan pihak berkepentingan seperti JPA, KSN, MOF, kesatuan pekerja dan pertubuhan majikan .Proses ini beri impak kepada produktiviti dan ekonomi. Sekarang ini ada kemudahan cuti sakit dan rehat yang diperuntukan kerajaan dalam sektor swasta dan awam," jelasnya.

Beliau menjawab pertanyaan ahli parlimen Klang, Charles Anthony Santiago dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat di Parlimen.


(Ahli parlimen Klang, Charles Anthony Santiago)

Media Baharu