fb fb fb fb fb

Liputan 4G di Sarawak meningkat 84.24 peratus- Annuar

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Liputan 4G di Sarawak meningkat kepada 84.24 peratus pada suku pertama 2022
berbanding 73 peratus sebelum ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, peningkatan itu hasil perkembangan program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.

Ini merangkumi pembinaan tapak menara baharu, naik taraf stesen pemancar, premis tersedia gentian optik dan jalur lebar satelit.


(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa)

"Bagi seluruh negeri Sarawak, sebanyak 85 tapak menara telekomunikasi siap dibina, manakala sebanyak 741 kini dalam pembinaan dibawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.

"Untuk makluman YB Hulu Rajang, di kawasan Hulu Rajang, sebanyak 59 menara telekomunikasi sedang dalam pembinaan, manakala bagi naik taraf menara pemancar pula 38 telah siap dan 12 lagi masih dalam pelaksanaan.

"Sementara itu, di Baram pula hanya satu sahaja yang telah siap, terdapat 110 tapak menara baru dalam pembinaan. Bagi kawasan Parlimen Igan, lima telah siap dan lapan lagi sedang dalam pembinaan", katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Kesemua inisiatif itu masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung tahun 2023.

Sementara itu, pelaksanaan hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau 'Point of Presence' (PoP) Fasa 2 akan mula dilaksanakan hujung tahun ini.

Projek itu bakal melibatkan lebih banyak sekolah di kawasan Sabah dan Sarawak.

"Projek Sabah diteruskan, sebanyak 500 sekolah di Sabah diteruskan, PoP 2 Sarawak akan diteruskan dengan jumlah yang lebih besar. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sedang pantau syarikat menerusi tender terbuka", katanya.

Pihaknya juga menggesa syarikat terlibat dengan PoP fasa 1 di Sabah agar meningkatkan prestasi kerja bagi mencapai sasaran, siap pada hujung tahun ini.

Media Baharu