(Ahmad Zahid Hamidi)
KUALA LUMPUR, 10 Jun- Golongan wanita kini berpeluang menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Khas Wanita di bawah institusi TVET kelolaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET Khas Wanita bakal membuka lebih banyak peluang bagi memperkasakan kaum wanita dalam bidang kemahiran.
"Saya bersetuju 100% dengan saranan Ketua Wanita UMNO (Datuk Seri Dr Noraini Ahmad) untuk menubuhkan TVET Khas Wanita melalui kerjasama antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia di bawah KKDW.
"Saya telah meluluskan pengambilan seramai 15,000 wanita untuk masuk ke TVET Khas Wanita," katanya.
Perkara tersebut diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap menteri KKDW dalam Ucapan Penggulungaan Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (Pau) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.