fb fb fb fb fb

Pengamal media veteran Tawau terima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA

Fahmi Fadzil (kanan) menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA kepada pengamal media Ismail Lamo, 67, (kiri) yang berdepan masalah kesihatan

TAWAU, 7 September- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA kepada seorang pengamal media veteran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang berdepan masalah kesihatan.

Dalam kunjungan ke kediaman Ismail Lamo, 67, di Jalan Air Panas, beliau menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan barangan sebagai penghargaan atas hampir lima dekad sumbangan Ismail dalam dunia kewartawanan.

Ismail yang merupakan penerima ke-29 di Sabah, pernah berkhidmat secara sambilan dengan BERNAMA sejak 1979.

Beliau kini menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi serta kencing manis, selain perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Tawau setiap enam bulan.

Menurut Sekretariat HAWANA 2025, inisiatif Tabung Kasih@HAWANA dilaksanakan bersama BERNAMA sebagai simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menzahirkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap jasa pengamal media.

Program ini mula dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 dan sehingga kini seramai 494 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripadanya.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.

SITI AISHAH BINTI MD ISA