KUCHING, 7 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima dua aduan melibatkan kenaikan harga barangan di bawah program bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan MyKasih, yang kini dalam siasatan kementerian.
Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, berkata siasatan awal mendapati isu itu berpunca daripada kesilapan teknikal pihak peruncit ketika menguruskan sistem kod barangan.
“Dua aduan yang terkait khusus di bawah program SARA atau MyKasih kini dalam siasatan. Ada aduan yang kita terima berpunca daripada kesilapan peruncit sendiri menyediakan sistem kod barangan dan perkara itu sudah diperbetulkan,” katanya.
Beliau menegaskan KPDN sentiasa meningkatkan pemantauan di setiap negeri, khususnya di premis yang melaksanakan inisiatif SARA.
Datuk Seri Mohd Sayuthi yang mewakili Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Sarawak di Tebingan Kuching.
Sebelum ini, tular di media sosial dan turut dilaporkan sebuah akhbar tempatan mengenai kenaikan harga beras di sebuah pasar raya yang terlibat dalam program bantuan SARA.