KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Kementerian Komunikasi akan mendapatkan maklumat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan dua individu yang didakwa sebagai ‘pengamal media’, selain dikaitkan dengan sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan susulan akan dikenakan jika terdapat pelanggaran syarat berhubung penggunaan kad perakuan media.
“Saya belum dapat maklumat daripada pihak SPRM, saya akan berhubung untuk mendapatkan kepastian.
“Sekiranya ada apa-apa perkara yang telah berlaku melanggari syarat-syarat berkait kad perakuan media, maka saya akan minta supaya Jabatan Penerangan mengambil tindakan.
''Tapi waktu ini kita sedang menunggu laporan pemakluman daripada pihak SPRM,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan suspek berperanan sebagai pemudah cara dengan menyalurkan maklumat kepada pihak tertentu yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan.
Baru-baru ini, dua individu terbabit antara 10 orang yang ditahan SPRM menerusi Op Sohor.