JANDA BAIK, 16 Ogos - Yayasan Taqwa-MAIWP menyalurkan sumbangan berjumlah RM70,000 kepada Surau At-Taqwa dan Maahad An-Noer di Kampung Chemperoh, Janda Baik, Pahang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu RM50,000 diperuntukkan bagi pembangunan dan baik pulih surau. Manakala RM20,000 lagi disalurkan untuk menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan di Maahad An-Noer.
Sumbangan tersebut dijangka memberi keselesaan kepada jemaah untuk beribadah serta memperkukuh usaha Maahad An-Noer dalam melahirkan ilmuwan Islam dan Huffaz Al-Quran sebagai aset berharga untuk ummah.
Maahad An-Noer yang diasaskan oleh Al-Mursyid Al-Allamah Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin bin Marbu Al-Banjari Al-Makki berperanan sebagai pusat pengajian tinggi Islam dan Al-Quran.
Bantuan ini juga selaras dengan hasrat kerajaan dalam memperkukuh pembangunan institusi pendidikan Islam dan mengimarahkan syiar Islam di seluruh negara.