
KUALA LUMPUR, 18 Januari – Pengamal media perlu lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat majmuk, khususnya ketika mengemukakan soalan dalam forum atau acara awam yang melibatkan isu antarabangsa dan emosi, seperti konflik Palestin.
- Pengamal media mesti peka terhadap sensitiviti masyarakat majmuk, terutamanya semasa membahas isu antarabangsa dan emosi.
- Kebebasan bersuara disokong tetapi perlu dipadankan dengan tanggungjawab untuk menjaga keharmonian dan mengelak provokasi.
- Jangan memburukkan keadaan dengan ugutan atau serangan di media sosial; hormati privasi individu dan keluarga.
Mengulas insiden melibatkan seorang wartawan yang mencetuskan kontroversi ketika sesi soal jawab bersama tetamu antarabangsa, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata walaupun wartawan berkenaan telah memohon maaf, kenyataan yang dibuat tetap mengundang reaksi awam dan laporan polis, sekali gus mewajibkan pihak berkuasa bertindak mengikut prosedur.
“Bila ada laporan dibuat, polis mesti respons. Malam itu individu terbabit dipanggil dan keesokan hari dibawa ke mahkamah, namun dibebaskan lebih awal walaupun mahkamah membenarkan tahanan 24 jam.
“Rex (bekas wartawan, Rex Tan) sendiri pun mesti belajar untuk mendisiplinkan diri. Pandai untuk bercakap tentang satu isu, tengok momen dia. Apalagi untuk membuat perbandingan yang sejauh itu. Bahkan Galloway (ahli politik Britain, George Galloway) sendiri pun tak setuju dengan pandangan dia. Betul dia telah minta maaf. Tapi satu kenyataan tentunya mengundang reaksi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sebuah restoran di sini, hari ini.
Menurut beliau, mesej utama daripada insiden itu ialah keperluan media menghormati batas sensitiviti dalam negara berbilang kaum dan agama, serta mengelakkan perbandingan atau soalan yang boleh mencetuskan ketegangan.
Beliau turut mengingatkan agar semua pihak tidak memburukkan keadaan dengan ugutan di media sosial dan menghormati kehidupan peribadi individu dan keluarga terlibat.
“Perkara itu tidak wajar dan sudah melampaui batas. Kita perlu ‘move on’ dan mengambil pengajaran. Ugutan serta serangan di media sosial tidak menguntungkan sesiapa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan Malaysia kekal mengamalkan kebebasan bersuara dan kewartawanan yang luas, namun kebebasan itu perlu disertai tanggungjawab dan pertimbangan terhadap kesan kepada keharmonian masyarakat.