fb fb fb fb fb

Peneroka Felda Jengka 24 terima geran tanah 19 Januari ini

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud /FOTO RTM

JERANTUT, 15 Januari- 292 peneroka FELDA Jengka 24 di sini dijadualkan menerima geran suratan hak milik tanah masing-masing selepas menanti selama hampir 40 tahun pada 19 Januari ini.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, lebih manis tanah rancangan itu mencatatkan sejarah sebagai antara Felda terakhir menerima surat hak milik tanah yang melengkapkan 37 rancangan Felda Wilayah Jengka.

Menurut Razak, warga peneroka sangat teruja untuk menerima sendiri geran yang akan disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, setelah menjadi peneroka sejak tahun 1985 dan 1986.

"Penduduk disini beramai ramai bergotong royong dan begitu semangat dan mereka berasakan begitu teruja menunggu tarikh 19 Januari (Jumaat) yang mana FELDA Jengka 24 ini merupakan wilayah rancangan yang terakhir menerima geran di Wilayah Jengka

Tambahnya, semua penduduk bersama-sama pengurusan Felda, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan, Gerakan Persatuan Wanita, Majlis Belia Felda Malaysia dan Kami Anak Felda, turun padang bergotong-royong bagi menceriakan kawasan kampung.

Pada majlis itu, seramai 154 peserta Felcra Bukit Nikmat 1 dan Felcra Bukit Nikmat 2, turut menerima suratan hak milik tanah masing-masing.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD