(Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyampaikan ceramah ketika hadir di Program
Santai Segalanya Felda Bersama Warga Felda Kemasul, Bentong, malam tadi)
BENTONG, 28 September- Peneroka generasi pertama Felda dianggap sebagai wira kerana berjuang meninggalkan kampung halaman dan meneruskan kehidupan di Felda.
Malah Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, mereka memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.
"Mereka saya anggap sebagai wira kerana datang berkorban untuk itu sehingga dapat kita lihat bukan sahaja kehidupan mereka memberi sumbangan yang besar ekonomi negara. Sawit misalnya bahan eksport kita yang utama eksport dapat mendokong ekonomi," katanya.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek/ FB Felda)
Sementara itu tambah beliau, kerajaan negeri Pahang merupakan satu-satunya kerajaan negeri yang paling banyak membenarkan tanah mereka dibuka kepada penduduk dari lain-lain negeri.
Ujarnya, pelbagai isu berkaitan tanah peneroka Felda di Pahang diselesaikan dengan bantuan kerajaan negeri.
Justeru, beliau menasihatkan agar hubungan antara peneroka, FELDA dan kerajaan terus diperkukuh.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Sembang Santai Felda bersama warga Felda Kemasul di sini, malam tadi.
Pada majlis itu turut diadakan bacaan yassin dan tahlil sebagai mengenang jasa Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina.
Dalam perkembangan lain, penduduk Felda Kemasul memohon pihak berwajib mempertimbangkan pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan utama antara Felda Kemahal sehingga Felda Kemasul.
Laluan kira-kira 11 kilometer itu merupakan laluan utama menuju ke Hospital Bera dan Hospital Temerloh.