(Penyerahan bendera kejohanan oleh Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi / FOTO KEMAS)
PUTRAJAYA, 27 September- Menjelang Hari Potensi KEMAS yang akan diadakan pada November depan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan mengibarkan bendera kejohanan di puncak Gunung Kinabalu 1 Oktober nanti.
Ia, bagi menandakan prestij Hari Potensi setelah hampir 30 tahun dilaksana.
Ekspedisi akan diketuai oleh Pengarah KEMAS Negeri Selangor, Mohd Ali Hanapiah Abu Hassan, bersama 10 lagi peserta yang juga merupakan kakitangan KEMAS Negeri Selangor.
Menerusi satu kenyataan, KEMAS memaklumkan mereka akan berlepas dari KLIA pada 29 September 2023 dan akan memulakan pendakian pada 30 September serta dijangka tiba di puncak Gunung Kinabalu pada 1 Oktober 2023.
"Selain menjalankan aktiviti rekreasi yang mencabar ketahanan fizikal dan mental, ekspedisi ini juga membawa misi KEMAS Selangor untuk mencapai kejayaan di mata dunia dengan simbolik mengibarkan bendera KEMAS di puncak Gunung Kinabalu.
"Simbolik penyerahan bendera Hari Potensi KEMAS telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, sebagai tanda membawa semangat dan cita-cita seluruh warganya untuk berusaha mencapai kejayaan dan keunggulan dalam kerjaya,"menurut kenyataan tersebut.
KEMAS turut memaklumkan, Hari Potensi KEMAS Peringkat Kebangsaan pada 3-5 November 2023 akan berlangsung di Dataran Kemerdekaan Bandaraya Shah Alam Selangor.
"Program ini bakal menghimpunkan hampir 800 orang kanak-kanak tabika KEMAS dari seluruh negara dengan menampilkan keupayaan kanak-kanak bertanding dalam acara bakat melibatkan pertandingan Bilal Cilik, Ustazah Junior, Pidato, Story Telling, Tarian, dan Digital Hero,"menurut KEMAS.
Hari Potensi KEMAS mula dilaksanakan pada RMKe-6 iaitu bermula 1991, diikuti 1997, 2002 dan 2004 dengan dijadikan aktiviti ko-kurikulum tabika yang dilaksanakan secara tahunan dan melibatkan tiga peringkat iaitu Daerah/ Parlimen, Negeri dan Kebangsaan.
(FOTO KEMAS)
(FOTO KEMAS)