fb fb fb fb fb

Pengamal media diminta patuhi etika ketika menulis berita - Fahmi

KUALA LUMPUR, 28 September- Setiap tajuk berita yang disensasikan perlu mematuhi etika serta tidak menyimpang daripada kandungan maklumat sebenar

Itu pesanan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kepada seluruh pengamal media dalam pelbagai platform khususnya di media sosial.

Menurut Fahmi, selain memastikan kandungan yang disampaikan sahih dan boleh dipercayai, pemilihan tajuk yang sesuai bagi setiap pelaporan berita juga harus mengambil kira ketepatan isi kandungan serta tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

"Apabila kita menulis berita, bukan sahaja isi kandungannya penting tapi tajuk berita itu juga penting kerana banyak pihak kadangkala..bukan rakyat Malaysia sahaja tetapi banyak pihak screenshot tajuk berita, tetapi kita tidak dapat access isi kandungan. Maka di situ timbul fitnah. Fitnahnya bukan pada isi kandungan, tetapi yang timbul akibat tajuk yang memberi gambaran lain terutama apabila mana-mana pihak hanya merujuk kepada tajuk sahaja. Jadi harapan saya, rakan-rakan media boleh berlaku adil kepada pihak yang dilapor," kata Fahmi selepas menghadiri malam kemuncak Malaysian Asian British Parliamentary Debating Championship (ABP) 2023 di sini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata berbahas atau berdebat dengan beradab dan beretika perlu dibudayakan dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda.

Antaranya, menerusi penganjuran program debat anjuran institusi pengajian tinggi awam dan swasta sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Acara seperti itu dapat menjadi pencetus semangat untuk meneruskan perkara itu di samping menjadi peringatan kepada rakyat tentang kepentingan membudayakan demokrasi berparlimen secara harmoni dan penuh nilai-nilai positif.

"Budaya berbahas ataupun berdebat itu bagi saya adalah budaya yang sangat penting bukan hanya penting untuk kita melontarkan idea dengan hujah yang bernas tetapi dengan cara yang beradab.

"Untuk kita, bukan hanya mempunyai golongan pelapis dalam kalangan anak-anak muda yang mampu melontarkan idea mereka dengan baik dan jelas, tetapi sebagai kesinambungan kepada budaya demokrasi berparlimen dalam negara kita," kata Fahmi.


(Saya lihat membudayakan amalan berbahas dengan cara yang beradab dan dengan buah fikiran 
yang jitu itu adalah satu keperluan.)

Media Baharu