GEORGE TOWN, 8 September- Pemberian RM100 secara sekali bayar kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bermula 31 Ogos lalu, disambut baik rakyat di sini.
Tinjauan RTM mendapati rata-rata penerima menyifatkan bantuan tersebut dapat menampung keperluan asas, terutama pada penghujung bulan. Namun, mereka berharap jumlah sumbangan dapat ditingkatkan pada masa akan datang selaras dengan peningkatan harga barangan.
Seorang penduduk, Zurina Ramly berkata, bantuan itu membolehkannya membeli barangan keperluan harian secara berperingkat.
"Semalam saya beli minyak, hari ini pula beli syampu. Masih ada baki RM50, mungkin akan digunakan untuk membeli beras dan barangan asas lain. Terima kasih kerana dengan pelekat MyKasih pada barangan, pembelian jadi lebih mudah," katanya.
Bagi Ajinisa Wahap, beliau menggunakan sumbangan tersebut untuk membeli susu serta barangan dapur lain secara beransur-ansur kerana bimbang berlaku kesesakan di pasar raya.
"Hari ini saya beli susu untuk anak dan jika habis boleh beli lagi secara berperingkat. Saya beli sedikit demi sedikit supaya tidak sesak di pasar raya.," katanya.
Sementara itu, Syrip Ahmad pula menyifatkan bantuan RM100 sangat membantu, namun berharap jumlahnya dapat ditambah bagi meluaskan pilihan barangan asas yang boleh dibeli.
"Bantuan ini memang membantu, cuma saya harap jumlahnya dapat ditambah pada masa akan datang. RM100 agak terhad, walaupun mencukupi untuk barangan asas. Namun pilihan seperti ayam, daging dan barangan lain agak terbatas," katanya.