KUALA LUMPUR, 8 September - Usaha membanteras ajaran sesat, memperkukuh perpaduan masyarakat serta menambah baik program bantuan di Wilayah Persekutuan akan terus diperhebat oleh agensi-agensi hal ehwal agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kempen penghayatan nilai murni juga perlu digerakkan secara lebih agresif khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kita tidak mahu generasi muda terumbang-ambing akhlak mereka kerana kurangnya penghayatan keagamaan dan nilai-nilai murni. Saya telah menggerakkan Gagasan Kalimah Tayyibah iaitu perkataan-perkataan yang baik yang dilaksanakan agensi-agensi agama, insya-Allah ia akan terus diperluaskan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan sambutan Maulidurrasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1447H/2025M di ibu negara.
Pada majlis itu, Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Dato’ Dr. Ibrahim Lembut dinobatkan sebagai Tokoh Utama Anugerah Maulidurrasul.
Anugerah Khas Individu kategori Aktivis Mualaf diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation, Joannes Lukas.
Sementara itu, kategori Ekonomi dimenangi Pengurus Tijara Kitchen, Marliza Mohd Yunus, manakala kategori Kebajikan dianugerahkan kepada Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan (PERTIS), Mohammad Faizal Che Yusof.
Bagi kategori organisasi, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Khas Setapak, Kuala Lumpur menerima Anugerah Khas.
Sambutan dimulakan dengan perarakan selawat membabitkan 18 kontinjen melibatkan 638 peserta daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).