fb fb fb fb fb

Rakyat Malaysia diseru zahir sokongan misi Flotilla ke Gaza

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru sokongan diberikan mengikut kemampuan masing-masing. - Foto arkib BERNAMA.

KUALA LUMPUR, 8 September - Hampir semua kapal yang menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla dilaporkan selamat tiba di Tunisia dan dijadual berlepas ke Gaza dalam tempoh dua hari lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru umat Islam di negara ini agar memberi sokongan, mengikut kemampuan masing-masing terhadap misi kemanusiaan tersebut yang turut melibatkan sukarelawan Malaysia.

“Kalau yang ada kemampuan kewangan, boleh beri sumbangan kewangan. Bagi yang tidak berkemampuan, doa juga adalah senjata orang beriman. Tidak kira dalam bentuk apa pun, rakyat Malaysia digalakkan menyokong usaha ini. Apa yang kita tidak mahu ialah sikap tidak cakna langsung terhadap apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1447H/2025M, di ibu negara.

Misi maritim terbesar itu melibatkan lebih 50 kapal dari 44 negara ke Gaza bagi mencabar sekatan haram israel serta menghantar bantuan kemanusiaan seperti ubat-ubatan dan makanan.

Kumpulan pertama berlepas dari Sepanyol pada 31 Ogos lalu dengan penyertaan 15 sukarelawan Malaysia, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri, penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Ardell Aryana.

TUN JULIA MOHD TAHIR