fb fb fb fb fb

Penerbitan tanpa permit jejas ketenteraman awam

Ketua Seksyen Regulasi Penerbitan, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Sahubar Ibrahim Ismail Gani

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Penerbitan tanpa permit dan kandungan yang bercanggah dengan undang-undang negara boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.

Menurut Ketua Seksyen Regulasi Penerbitan, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sahubar Ibrahim Ismail Gani, penerbitan bebas yang melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 boleh dikenakan tindakan larangan serta hukuman berat.

“Jika bahan bercanggah dengan kemoralan, keselamatan, atau fatwa yang diwartakan, ia boleh dikategorikan sebagai hasil penerbitan tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

Proses larangan melalui beberapa peringkat analisis melibatkan pelbagai pihak serta penilaian oleh jawatankuasa sebelum diserahkan kepada KDN.

"Mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) persatuan, penerbit buku kalau terbit bahan berkala, wajib mohon permit daripada KDN. Jika tidak, boleh dikenakan denda hingga RM20,000 atau penjara tiga tahun,” jelasnya.

Akta yang digubal sejak 1984 itu masih relevan biarpun dalam era kecerdasan buatan dan digital.

TETITIA YUSOFF