KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Syarikat penerbangan tambang rendah, Jiangxi Air, melancarkan penerbangan antarabangsa sulungnya yang menghubungkan terus Nanchang dengan Kuala Lumpur.
Pesawat RY6607 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekali gus menandakan bermulanya perkhidmatan penerbangan terus pertama antara Nanchang dan Kuala Lumpur.
Perkhidmatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan udara antara Malaysia dan China, malah dijangka merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.
Pemilihan Malaysia sebagai destinasi sulung turut mencerminkan keyakinan syarikat penerbangan antarabangsa terhadap daya tarikan pelancongan negara ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata laluan baharu tersebut akan mengukuhkan lagi hubungan pelancongan Malaysia–China serta menyokong usaha kerajaan menarik lebih ramai pelancong dari China.
“Penerbangan terus ini bukan sahaja akan memudahkan kedatangan pelancong dari China ke Malaysia, malah berupaya meningkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor,” katanya.
Jiangxi Air akan mengendalikan dua penerbangan seminggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Nanchang Changbei ke KLIA, menggunakan pesawat Boeing 737-800 dengan kapasiti 175 tempat duduk.