fb fb fb fb fb

RUU baharu akan dibentang Februari bagi sokong operasi RTS Link

Projek Transit Rentas Sempadan (RTS) Johor Bahru–Singapura yang dijadual mula beroperasi Januari 2027/Foto Bernama

SEPANG, 26 Ogos - Kerajaan akan membentangkan satu rang undang-undang (RUU) baharu pada sidang Parlimen Februari depan bagi membolehkan pelaksanaan operasi co-located CIQ untuk Projek Transit Rentas Sempadan (RTS) Johor Bahru–Singapura yang dijadual mula beroperasi Januari 2027.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pendekatan itu penting kerana tanpa undang-undang baharu, kerajaan perlu meminda lebih 30 akta sedia ada.

''Jika kita tidak buat rang undang-undang baharu, kita kena pindah 37 akta. Satu-satu akta itu ada seksyen berkaitan, jadi jika sudah 37 akta? dalam satu akta ada seksyen yg mesti kita patuhi bagi membolehkan satu sahaja keputusan bersama boleh berjalan iaitu co-located.

''Jadi pilihan yang kita ada ialah buat satu rang undang-undang baru dengan mengambil kira semua keperluan seksyen dalam akta sedia ada, jadi item terperinci itu saya akan umumkan bila tiba masanya,'' katanya.

Jelas beliau lagi, akta baharu itu akan memastikan aspek perundanganlebih jelas bagi membolehkan pegawai imigresen Singapura ditempatkan di Bukit Cagar, Johor, manakala pegawai imigresen Malaysia beroperasi di Woodlands North. Singapura.

Dalam pada itu, Datuk Seri Saifuddin mengumumkan pelaksanaan Advanced Passenger Screening System (APSS), di pintu masuk negara bagi memantapkan kawalan keselamatan.

APSS tersebut akan dipantau oleh International Civil Aviation Organization (ICAO) .

Menurut beliau, APSS akan dimulakan dengan 10 syarikat penerbangan daripada 56 yang beroperasi di Malaysia, sebelum diperluas sepenuhnya.

Sistem tersebut membolehkan maklumat penumpang seperti nama, nombor pasport dan butiran perjalanan diperoleh lebih awal, sekali gus membantu mengurangkan insiden 'not to land' dan risiko keselamatan.

Datuk Seri Saifuddin turut berkongsi perkembangan mengenai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang kini beroperasi di 21 pintu masuk seluruh negara sejak Februari lalu.

AKPS dijangka mengambil alih keseluruhan 123 pintu masuk rasmi, menjelang Januari depan.

“Bila ada hanya satu saja 'Chain of Command' ini, dari sudut administratifnya, ia menjadi lebih efektif dan pentadbiran pintu masuk akan lebih selaras,” katanya.

Beliau menambah, AKPS kini mempunyai 5,180 pegawai dan kakitangan dan sedang memperincikan skim perkhidmatan baharu bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), untuk mengukuhkan lagi operasi sebagai agensi sempadan tunggal negara.##

ASHRIQ FAHMY AHMAD