PANGKOR, 25 Januari - Penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang ke Pulau Pangkor bermula esok, dijangka mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di pulau peranginan itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penerbangan kira-kira 45 minit dengan pesawat Twin Otter Turboprop itu memberi peluang kepada pelancong dari dalam dan luar negara, menggunakan jalan udara.
Jelas beliau, selain membantu melonjak reputasi Pulau Pangkor, ia berupaya membawa lebih ramai pelancong secara terus ke Perak khususnya ke pulau bebas cukai berkenaan.
"Datang ke Pulau Pangkor melalui jalan udara boleh menjimatkan masa lebih kurang tiga jam tanpa perlu melalui lebuh raya dan tanpa perlu untuk berbaris panjang di jeti.
"Jadi ini satu peluang yang baik dan saya doakan ia juga menjadi satu permulaan untuk memeriahkan semula Pulau Pangkor dengan kehadiran pengunjung melalui penerbangan ini," katanya pada majlis sambutan penerbangan SKS Airways Subang-Pangkor di Lapangan Terbang Pulau Pangkor, di sini.
Kerajaan negeri dalam pada itu turut mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan yang berhasrat memulakan operasi di Ipoh mahupun di Pulau Pangkor.
Menurut Saarani, berdasarkan laporan Jabatan Laut Negeri Perak, jumlah kedatangan pelancong ke Pulau Pangkor mencatatkan peningkatan bermula Oktober tahun lalu iaitu seramai 52,487 kepada 134,808 orang pada Disember.