SERDANG, 25 Januari - Lima buah kenderaan yang diparkir di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana, disini terhumban ke longkang besar selepas berlaku tanah mendap di kawasan itu pada kira-kira 6.38 petang tadi.
Bagaimanapun, menurut Penolong Penguasa II Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Saharudin Abdul Razak kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa.
"Keadaan hujan ketika kejadian itu menyebabkan longkang pecah sehingga berlaku mendapan tanah dan lima kereta tersebut jatuh sedalam lima hingga enam meter.
"Susulan itu, anggota bomba menutup kawasan kejadian kepada orang awam sebelum menyerahkannya kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya untuk tindakan lanjut," menurut Saharudin berdasarkan laporan Bernama.
Difahamkam ke semua lima kenderaan itu diletakkan pada bahu jalan berhampiran tebing dihadapan deretan kedai.
Menurut penduduk berhampiran, kejadian tanah mendap dan tebing konkrit itu runtuh bukan kejadian kali pertama.
Pada 2017, kejadian sama turut menyebabkan beberapa kenderaan terhumban ke dalam longkang.