Penebusan Baucar Buku MADANI capai 68.56 peratus

Wong Kah Woh (berdiri tengah) menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Perbadanan Kota Buku dan Pos Malaysia Berhad/ Foto PERBADANAN KOTA BUKU

CYBERJAYA, 20 OgosPenebusan Baucar Buku MADANI 2026 mencapai 68.56 peratus setakat pagi Khamis melibatkan peruntukan RM220 juta untuk manfaat lebih 2.2 juta pelajar sekolah menengah dan ke atas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penebusan baucar dibuka sehingga 31 Oktober 2026, dijangka meningkat menjelang tarikh tutup.
  • Penerima menebus dan membeli melalui Kota Buku Digital; semua transaksi direkodkan satu saluran untuk pemantauan kerajaan.
  • Inisiatif dilancar 2024 dan diteruskan 2025, berjaya membeli serta mengedarkan berjuta naskhah kepada penerima.
  • Perbadanan Kota Buku dan Pos Malaysia meterai kerjasama strategik, termasuk program Dua Juta Buku Latihan Kitar Semula untuk murid B40.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan penebusan secara dalam talian itu dibuka hingga 31 Oktober ini, dengan kadar penebusan dijangka terus meningkat dalam tempoh berkenaan.

“Setakat pukul 7 pagi tadi, jumlah penebusan telahpun mencecah 68.56 peratus. Ini adalah satu kadar penebusan yang amat tinggi memandangkan kita masih ada lebih kurang dua bulan setengah lagi sebelum kita tutup penebusan pada 31 Oktober 2026,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Perbadanan Kota Buku dan Pos Malaysia Berhad di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer.

Wong berkata penerima boleh menebus baucar dan membeli buku pilihan menerusi Kota Buku Digital (Book Capital), dengan semua proses penebusan serta pembelian direkodkan menerusi satu saluran.

“Kaedah berkenaan membolehkan kerajaan memantau penggunaan peruntukan serta memastikan baucar digunakan bagi tujuan pembelian buku,” katanya.

Inisiatif itu mula diperkenalkan pada 2024 dengan peruntukan RM287 juta untuk murid Tahun Empat dan ke atas, sebelum diteruskan pada 2025 dengan RM42 juta bagi manfaat warga pendidik.

Menurutnya, sepanjang 2024 dan 2025, sebanyak 9.19 juta naskhah buku berjaya dibeli dan dihantar kepada penerima, tidak termasuk pembelian bagi tahun ini.

Katanya, manfaat Baucar Buku MADANI diberikan kepada penerima yang layak di seluruh negara berdasarkan jumlah murid di setiap negeri dan sekolah.

“Semua pelajar akan menerima manfaat dan bergantung kepada bilangan murid yang ada di setiap negeri dan setiap sekolah. Tiada yang tertinggal, tiada yang terpinggir,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Perbadanan Kota Buku dan Pos Malaysia Berhad memeterai kerjasama strategik bagi memperluas akses kepada buku serta bahan pembelajaran, khususnya kepada komuniti yang mempunyai akses terhad.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berkata kerjasama itu turut melibatkan program Dua Juta Buku Latihan Kitar Semula yang menyasarkan pengedaran lebih dua juta buku latihan kepada 4,120 sekolah.

Beliau berkata program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 murid B40, selain menggabungkan penggunaan bahan kitar semula dalam penyediaan bahan pembelajaran.

“Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam misi Kota Buku untuk mendemokrasikan akses kepada bahan bacaan dan pembelajaran untuk semua warga Malaysia, terutamanya murid,” katanya.

Menurut Adibah, pelaksanaan program itu turut diunjurkan mengelakkan kemusnahan kira-kira 2,832 pokok, selain membantu keluarga menjimatkan anggaran RM2.4 juta secara keseluruhan.

“Kerjasama itu membolehkan bahan pembelajaran dihantar kepada sekolah dan komuniti di kawasan luar bandar serta pedalaman, termasuk lokasi yang mempunyai akses terhad kepada sumber pendidikan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.