IPOH, 16 November - Nasib 164 penduduk terjejas bencana ribut di Meru dan Klebang, di sini baru-baru ini terus terbela, bantuan wang tunai bermula RM700 hingga RM1,400 telah diagih kepada penduduk terlibat, petang tadi.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata bantuan yang disalur bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami.
"Jadi mereka ini pegawai kita telah turun lihat rumah-rumah yang terbabit, kalau kawasan itu teruk jadi kita beri (bantuan) lebih, jadi saya fikir itu paling kurang dapat membantu meringankan beban mereka, mana-mana tempat yang teruk sangat itu saya fikir pejabat daerah terus turun padang dan bantu, kita buat dengan kadar segera, tidak sampai seminggu kita terus usahakan," kata Shamsul ketika menyampaikan sumbangan kepada enduduk terjejas bencana ribut di Taman Klebang Jaya dan Taman Meru 2C, di sini.
Sementara itu, penduduk yang ditemui menzahirkan penghargaan atas bantuan tersebut yang dapat meringankan beban mereka.
"Memang meringankan sikit beban untuk saya dengan keluarga," kata penduduk, Mohd Sani Sahidan.
"Saya tengok rumah saya punya atap sudah terbang, sudah pecah, enam keping semua atap hancur, terima kasih la, bagi ini duit boleh pakai barang-barang rosak kita boleh baiki," kata penduduk Rajoo A/L Tangaveloo.