KUALA LUMPUR, 16 November - Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) tidak akan menjejaskan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab pengangkutan udara paling penting negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan, SARP juga KLIA sebagai pintu utama negara bagi penerbangan antarabangsa berkapasiti lebih besar.
Menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya Anthony berkata, Lapangan Terbang Subang mempunyai kapasiti tertentu dengan jenis pesawat yang dibenarkan adalah terhad selain menjadikannya sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih.
"Jadi isu kanibalisasi KLIA tidak timbul kerana KLIA tetap menjadi pintu masuk paling utama untuk negara kita, untuk penerbangan antarabangsa dan sebagainya, memang KLIA akan terus memainkan peranan tersebut dan Subang ini kapasitinya terhad dan kita mahu jadinya sebagai lapangan terbang bandar," kata Anthony.
Pada penggulungan sama, Anthony memaklumkan penetapan harga siling bagi tiket penerbangan boleh memberi kesan kepada penumpang dalam jangka panjang.
Beliau berkata, ia tidak memberi motivasi syarikat penerbangan yang mungkin mengambil langkah mengurangkan kapasiti penumpang.
"Kalau kita letak harga siling, pada waktu-waktu bukan puncak, mungkin harga itu akan meningkat, kalau letak harga siling ia akan menjadikan harga-harga yang biasanya yang sepatutnya murah akan menjadi lebih tinggi. Jadi apa yang kita buat ialah intervensi secara pilihan," katanya lagi.
Langkah intervensi terpilih termasuk pada musim perayaan dan kemudahan baucar kepada pelajar Sabah dan Sarawak di Semenanjung.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang memaklumkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) akan memantau proses pelaksanaan pengekstrakan torium daripada Lynas.
Menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya, beliau berkata pengekstrakan torium bukan teknologi baharu sebaliknya sudah dilaksanakan di negara lain.
"Di negara yang ada lombong, mereka tidak menggunakan cara ini kerana ia membabitkan kos yang tinggi. Mereka perlu guna lombong sedia ada untuk tanam semula (sisa) dalam lombong itu,mereka tidak perlu proses seperti WLP tetapi di negara kita tak boleh buat sebab lombong tidak ada di malaysia. 'fixed stock' dari Lynas ini adalah dari Australia," kata Chang Lih.
Sebelum ini, beberapa pihak membangkitkan kebimbangan mengenai proses pelupusan sisa water leach purification (WLP) yang dikategorikan sebagai radioaktif.