fb fb fb fb fb

Op bersepadu: JPJ Perlis sita 14 motosikal warga asing

FOTO RTM

KANGAR, 16 November - Sebanyak 14 buah motosikal yang ditunggang warga asing disita oleh Pasukan Operasi Khas JPJ Perlis dalam Ops Bersepadu Khas JPJ dan JSPT yang dilancarkan mulai 1 November 2023.

Menurut Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah, warga asing berkenaan dikesan menunggang motosikal tanpa Lesen Memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) Tamat Tempoh dan Tiada Perlindungan Insurans.

Kesemua mereka dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 26(1), 23(1) dan 90(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) pindaan 2021, manakala motosikal milik warga asing tersebut disita mengikut Seksyen 64(1) akta yang sama.

"Selain pemandu warga asing ini, turut dikenakan tindakan saman bagi kesalahan yang sama adalah pemilik motosikal yang membenarkan pemandu warga asing memandu tanpa Lesen Memandu yang sah."

"Jika disabitkan dengan kesalahan, pemandu dan pemilik kenderaan tersebut boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan penjara mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) pindaan 2021," katanya ketika meninjau Operasi Bersepadu bersama pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)  di sini.

Empat sasaran utama yang difokuskan di dalam OPS Bersepadu JPJ dan JSPT iaitu kesalahan berkaitan motosikal dan pemandu warga asing atau OPS PeWA dan menyasarkan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu kenderaan perdagangan dan kenderaan perkhidmatan awam.

Selain itu, OPS Bersepadu Khas ini juga menyasarkan kesalahan pemandu di lebuh raya dan jalan Persekutuan serta kesalahan teknikal dan turut melibatkan agensi seperti PUSPAKOM dan syarikat-syarikat pengangkutan di seluruh negeri Perlis.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD