fb fb fb fb fb

Ceroboh tanah di Bukit Merah, pihak berkuasa akan ambil tindakan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

BAGAN SERAI, 16 November- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan, tindakan akan diambil kepada sesiapa yang menduduki tanah kerajaan secara tidak sah, susulan isu aktiviti pencerobohan tanah kerajaan seluas 15.378 hektar di kawasan tadahan kolam Bukit Merah semalam.

Jelas beliau, tanah itu diceroboh oleh individu tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti pertanian.

"Jika ada yang menduduki tanah kerajaan secara tidak sah, maka tindakan akan diambil oleh pejabat tanah dan daerah.

"Notis dikeluarkan supaya mereka meninggalkan tanah itu kalau tidak kita kena buat penguatkuasaan apatah lagi saya dimaklumkan tanah tanah yang diduki itu adalah tanah yang berada di tepian tasik Bukit Merah, yang pada bila bila masa jika air melimpah, akan terlibat dengan banjir,"katanya.

Jelas beliau, pihaknya sudah pun memberi notis kepada penceroboh supaya keluar dari tanah itu dan tindakan undang undang akan diambil di bawah Seksyen 425 kanun tanah negara.

Semalam, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian telah berjaya mematahkan aktiviti pencerobohan tanah kerajaan melalui Operasi Penguatkuasaan Bersepadu.  

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, Bagan Serai.

Sementara itu, berhubung keadaan banjir yang semakin pulih, Datuk Seri Saarani berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian supaya mengambil tindakan segera untuk mengepam keluar air bagi memastikan air banjir dapat surut dengan cepat.

Jelasnya, sebanyak RM300 sumbangan oleh kerajaan negeri dan RM300 sumbangan peribadi telah diberikan bagi meringankan beban penduduk terjejas.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE