(Penduduk terjejas banjir di PPS SMK Seri Pengkalan, Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 29 Oktober- Penduduk terjejas banjir dan petugas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Melaka digalakkan mengambil ubat mencegah jangkitan kencing tikus atau “Leptospirosis”.
Menurut Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan wabak berkenaan.
Beliau turut menjelaskan, ubat berkenaan tidak berbahaya dan bekalannya boleh diperoleh daripada petugas kesihatan di PPS terlibat.
Golongan berkenaan digalakkan mengambil ubat tersebut kerana mereka berisiko mendapat jangkitan itu terutama mereka yang terdedah lama dalam air banjir atau ketika membersihkan rumah.
Muhamad Akmal turut menambah, "walaupun kadar jangkitan kencing tikus berdasarkan banjir yang lepas agak rendah, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana penyakit itu masih berada dalam komuniti.
"Pengambilan ubat kencing tikus amat digalakkan sebab ia tidak dipengaruhi keadaan air banjir yang tenang ataupun tidak. Berbeza dengan denggi."
Beliau ditemui pemberita RTM selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan, Alor Gajah.
(Dr Muhamad Akmal Saleh, Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Melaka)