fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Terangganu, Kelantan berkurangan, Selangor kekal

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 28 November - Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu semakin baik.

Di Kelantan, jumlah penduduk terjejas banjir melibatkan jajahan Pasir Mas dan Bachok berkurangan kepada 463 orang daripada 142 keluarga dan ditempatkan di empat PPS, hingga 7.27 pagi ini.

"Sebanyak 246 penduduk daripada 84 keluarga ditempatkan di PPS SK Tok Deh manakala 65 orang daripada 19 keluarga masih kekal berlindung di PPS Kedai Tanjong di jajahan Pasir Mas," menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Di jajahan Bachok pula, 67 orang daripada 16 keluarga mendapat perlindungan di PPS SMK Beris Panchor manakala 85 orang daripada 23 keluarga berada di SK Jelawat.

Di Terengganu, banjir semakin pulih apabila hanya 40 penduduk terjejas banjir daripada 10 keluarga masih berada di tiga PPS dengan 25 orang daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di Kuala Nerus.

Di Dungun enam mangsa daripada dua keluarga masih berada di PPS SK Tok Kah manakala di Setiu sembilan mangsa daripada dua keluarga masih berlindung di PPS SK Kampung Rhu Sepuluh.

Manakala di Selangor, portal yang sama melaporkan jumlah penduduk terjejas banjir pagi ini kekal seperti semalam, membabitkan 34 orang daripada 14 keluarga di satu sahaja PPS di daerah Kuala Selangor iaitu SK Sultan Abdul Aziz.

TETITIA YUSOFF