KUCHING, 28 November- Jabatan Penyiaran Malaysia, RTM Sarawak akan menyediakan lebih banyak pengisian program menarik dari Bumi Kenyalang tahun depan.
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, terdapat 277 program berskala kecil, sederhana dan berskala besar yang bakal dianjurkan.
"Antara program berskala besar ialah Konsert EVO70 bersempena dengan Sambutan Jubli Platinum: Evolusi 70 tahun Radio Sarawak.
Turut dirancang penganjuran program Mukun SeBorneo 2024 yang akan melibatkan penyertaan daripada Brunei Darussalam dan Indonesia," katanya pada Majlis Apresiasi Jabatan Penyiaran Sarawak bagi menghargai sumbangan dan kerjasama rakan strategik di sini.
Program ikonik Sarawak, Bintang P. Ramlee akan diteruskan pada tahun depan manakala program Bintang Kecil bakal menyaksikan penyertaan dari Indonesia, Singapura dan Brunei.
Suhaimi memberitahu, segala susun atur program-program RTM Sarawak tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan rakan-rakan strategik yang telah menyumbang kepada jalinan kerjasama itu.
Sepanjang tahun 2022, RTM Sarawak mendahului stesen-stesen negeri lain dengan pendapatan paling tinggi setakat November lalu berjumlah RM721,153.
Beliau turut berharap, kerjasama antara RTM Sarawak bersama rakan-rakan strategiknya akan diteruskan.