BUKIT KAYU HITAM, 28 November - Inisiatif jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah dan ICQS Sadao Baharu, Thailand dijangka direalisasikan dalam masa terdekat.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi satu kenyataan berkata, kementeriannya yakin dengan terbinanya jajaran baharu itu, keselesaan dan keselamatan pengguna dapat ditingkatkan selaras dengan aspirasi Kempen MyJalan.
Katanya pada masa sama, jalan baharu itu dijangka akan meningkatkan kegiatan ekonomi kedua-dua negara
"Malaysia dan Thailand telah bersetuju secara dasarnya berhubung jajaran reka bentuk dan isu teknikal yang berkaitan, agar projek itu dapat dilaksanakan bagi memastikan tahap kesaling hubungan antara kedua-dua negara dapat ditingkatkan.
"Jaringan jalan penghubung itu terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5, dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter," katanya menerusi kenyataan itu.
Projek jalan itu juga melibatkan pengambilan tanah, perobohan dan pembinaan baharu Blok Asrama Kem Regimen Sempadan (5RS) serta beberapa struktur keselamatan lain seperti Pos Kawalan Akhir dan Pagar Keselamatan yang terkesan daripada jajaran jalan ini.
Kenyataan kementerian itu susulan lawatan kerja sehari Perdana Menteri Datuk Seri Anuar Ibrahim ke Sadao atas jemputan rakan sejawatnya Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.
Pertemuan kedua-dua pemimpin negara itu, turut melibatkan perbincangan mengenai manfaat bersama dalam meningkatkan sektor pelancongan dan kerjasama dalam sekuriti makanan.