Kebolehpasaran graduan, universiti perlu keluar dari ‘bubble’ akademik

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Universiti mesti keluar dari 'bubble' akademik dan selar kurikulum dengan kehendak industri untuk kebolehpasaran graduan.
  • Industri perlu dilibatkan sebagai penilai dan rakan strategik dalam pembelajaran, bukan sekadar penceramah jemputan.
  • Pendedahan praktikal dan penilaian berdasarkan prestasi sebenar membantu kenal pasti bakat lebih awal dan tingkatkan peluang kerjaya.

Isu kebolehpasaran graduan terus menjadi antara cabaran utama pendidikan tinggi negara, meskipun pelbagai penambahbaikan kurikulum telah dilaksanakan setiap beberapa tahun. Hakikatnya, jurang antara universiti dan industri masih wujud dan dalam era ekonomi digital serta industri kreatif yang bergerak pantas dan jurang ini semakin ketara.

Dalam landskap pekerjaan yang semakin kompetitif dan pantas berubah, persoalan paling kritikal yang terus menghantui graduan universiti hari ini bukan lagi “di mana hendak bekerja?” tetapi “adakah aku benar-benar bersedia untuk dunia kerja?”. Jurang antara dunia akademik dan industri bukan isu baharu, namun jurang ini semakin ketara dan tidak lagi boleh dipandang ringan.

Universiti tidak lagi boleh berfungsi sebagai ruang atau “bubble” akademik yang terpisah daripada realiti industri. Universiti tidak lagi boleh terasing daripada realiti industri yang sentiasa bergerak, bereksperimen dan menilai berdasarkan keupayaan sebenar, dan bukan lagi semata-mata keputusan peperiksaan.

Jika tidak ditangani secara strategik, institusi pengajian tinggi berisiko melahirkan graduan yang cemerlang dari sudut teori, tetapi kurang bersedia menghadapi tuntutan sebenar dunia kerja.

Masalah lama dan Implikasi Baharu

Pendekatan pendidikan tinggi yang terlalu berorientasikan silibus dan penilaian dalaman sering gagal mencerminkan keperluan sebenar industri, sekali gus berisiko melahirkan graduan yang cemerlang di atas kertas tetapi kaku apabila berhadapan dengan situasi dunia kerja sebenar.

Dalam banyak keadaan, universiti menilai hasil pembelajaran pelajar dari sudut akademik semata-mata, sedangkan majikan hari ini menilai berdasarkan nilai praktikal seperti kemahiran aplikasi, keupayaan berfikir secara kritikal, kebolehan berkomunikasi, keberanian mempertahankan keputusan serta keupayaan bekerja secara berkesan di bawah tekanan.

Tanpa pendedahan awal kepada realiti ini, pelajar berisiko mengalami kejutan budaya kerja sebaik sahaja melangkah keluar dari alam universiti.

Industri Sebagai Penilai, Bukan Sekadar Tetamu

Salah satu cara paling praktikal dan berkesan untuk merapatkan jurang ini adalah dengan membawa industri ke dalam suasana akademik secara langsung, bukan sahaja sebagai penceramah jemputan atau panel forum bermusim, tetapi juga sebagai penilai dan rakan strategik dalam proses pembelajaran.

Beberapa idea atau inisiatif praktikal yang sedang atau boleh diambil termasuk meminta profesional industri menilai projek akhir atau projek semester, melaksanakan sesi pitching sebenar yang mensimulasikan suasana pembentangan kepada pelanggan, dan membuka ruang untuk penilaian berdasarkan piawaian industri adalah antara idea atau inisiatif praktikal yang sedang atau boleh diambil.

Langkah ini dianggap lebih sesuai mengambil kira tuntutan pasaran kerja semasa. Kaedah ini bukan sahaja memberi gambaran situasi yang sebenar kepada pelajar, tetapi ia juga membantu pengajar dalam memahami keperluan sektor dengan segera.

Industri dan universiti berpeluang mendapat manfaat daripada pendekatan ini. Industri dapat mengenal pasti bakat baharu lebih awal, sementara universiti boleh mendapatkan maklum balas segera mengenai keperluan sebenar pasaran kerja.

Bakat Dikenal Pasti Secara Langsung

Penglibatan industri dalam penilaian projek pelajar telah membuktikan keberkesanannya apabila bakat dikenal pasti secara serta-merta. Dalam satu sesi penilaian projek pelajar yang melibatkan juri industri, kisah bagaimana seorang pelajar dikenal pasti on the spot menjadi bukti paling jelas mengapa industri perlu dibawa ke kampus.

Tanpa melihat purata nilai gred kumulatif (CGPA) atau senarai anugerah, bakat boleh ditentukan dengan melihat cara pelajar tersebut menyampaikan idea, menjawab pertanyaan dan menunjukkan kefahaman yang mendalam terhadap kerja mereka sendiri.

Situasi ini mencerminkan realiti dunia kerja sebenar iaitu bakat dinilai berdasarkan prestasi, keyakinan dan kefahaman, bukan semata-mata transkrip akademik. Malah, terdapat kes di mana peluang kerjaya ditawarkan sebaik sahaja sesi pembentangan selesai, sekali gus membuka laluan kerjaya lebih awal kepada pelajar yang benar-benar bersedia.

Hakikatnya, bakat sebenar jarang menunggu proses formal. Jika universiti tidak menyediakan ruang untuk bakat itu dilihat dan dinilai, industri lain akan mengambil peluang tersebut.

Universiti Sebagai Gerbang Kerjaya

Dalam konteks dasar pendidikan tinggi dan kebolehpasaran graduan, universiti perlu dilihat sebagai gerbang kepada alam profesional, bukan penamat kepada proses pembelajaran. Hubungan antara universiti dan industri yang lebih terbuka dan kolaboratif berpotensi memberikan manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak.

Apabila kampus berani membuka pintunya kepada industri dari bilik kuliah hingga ke bilik penilaian, graduan lebih bersedia dan lebih yakin untuk memasuki dunia pekerjaan. Universiti yang berani membuka pintu kepada industri bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, tetapi turut memastikan program pengajian terus relevan dengan keperluan semasa.

Sebaliknya, universiti yang terus beroperasi dalam ‘bubble’ akademik berisiko ketinggalan dalam ekosistem pekerjaan yang semakin kompetitif. Persoalan utama kini bukan lagi sama ada industri perlu dibawa ke kampus, tetapi sejauh mana universiti bersedia menyesuaikan diri dengan realiti baharu dunia pekerjaan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Norazirawati Ahmad
Ketua Program Diploma Komunikasi
Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
e-mel: norazirawati@uis.edu.my