fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Perlis, Perak dan Kedah catat penurunan

Situasi banjir di negeri Perak

KUALA LUMPUR, 14 November - Jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga negeri Perlis, Perak dan Kedah mencatatkan penurunan setakat 8 malam tadi.

Di Perak, jumlah penduduk terjejas adalah seramai 230 orang daripada 68 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, enam PPS masih beroperasi iaitu di daerah Kerian, Kinta dan Hilir Perak.

PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 108 orang daripada 32 keluarga.

Sementara itu, 19 penduduk daripada 5 keluarga pula dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Chikus.

Di daerah Kinta, PPS yang dibuka adalah di Dewan Orang Ramai (MBI) Taman Meru 2A dan Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta menempatkan 23 penduduk daripada 8 keluarga.

Manakala di daerah Kerian, PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak dan Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu menempatkan 80 penduduk daripada 23 keluarga.

Di Perlis pula, jumlah penduduk yang dipindah ke PPS di Dewan Titi Tinggi Hilir, Padang Besar sehingga 6.45 petang ini menurun kepada hanya 5 keluarga melibatkan 8 orang mangsa.

Ini setelah 38 penduduk terjejas banjir terdiri dari 9 keluarga dari Kampung Titi Tinggi Hilir telah dibenarkan pulang kira-kira jam 6.00 petang tadi setelah banjir mulai surut.

Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Ku Chik Ku Mat Esa, mangsa yang masih berada di PPS melibatkan dua lelaki dewasa dan enam wanita dewasa berikutan kawasan kediaman masih ditenggelami banjir.

Di Kedah, terdapat satu lagi PPS dibuka di Kota Setar berikutan 6 buah kampung di daerah itu dilanda banjir kilat akibat limpahan air sungai anak bukit .

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar Muhammad Suhaimi Mohd  Zain berkata setakat jam 8 malam , PPS baharu yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah selain satu PPS sedia ada di daerah Kubang Pasu .

Kampung berkenaan ialah Kampung Seberang Chegar, Kampung Alor Gunung dan Kampung Pulau Kerengga.

Turut terjejas Kampung Alor Senjaya, Kampung Alor Perang dan Kampung Bohor.

GRACE AISYAH KEDAYAN