fb fb fb fb fb

Nurul Ain, suami selamat tiba di Malaysia kongsi detik ahli keluarga syahid

Nurul Ain dan suaminya ketika ditemu bual sebaik tiba di KLIA

SEPANG, 14 November - Rakyat Malaysia yang terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron, 37 tahun selamat tiba di tanah air pada 8.57 malam tadi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Ketibaan Nurul Ain bersama suaminya yang juga warga Palestin Mohamed AM Shaat, 33 tahun menaiki pesawat penerbangan Malaysia (MAS) dari Kaherah.

Pasangan itu kelihatan terharu dan tidak mampu menahan sebak mengenang pengalaman yang dilaluinya sepanjang di kawasan konflik Gaza.

Berkongsi detik dilema yang menyelubungi dirinya, Nurul Ain berkata pada awalnya dia dan suami tidak mahu meninggalkan Palestin memandangkan ahli keluarganya turut berada di Gaza.

Katanya dengan sebak, keadaan di Gaza semakin teruk berbanding 2014, memaksa dia dan suaminya membuat keputusan sukar untuk meninggalkan Gaza.

"Jadi saya dan suami membuat keputusan keluar (dari Gaza) untuk meneruskan kehidupan, bekerja dan menyara ahli keluarga kerana keadaan di sana bukanlah mudah.

"Dalam ahli keluarga saya sendiri, ada yang syahid. Tiga hari sebelum dia (salah seorang ahli keluarga) masak untuk kami, kemudian mak dia pula dibom dengan 8 roket. Hancur!

"Pada ketika itu, kami punya semangat agak turun, saya cakap pada suami kena teruskan (kehidupan). Sampai tahap tiada bekalan makanan dan berebut beli roti. Nak beli roti tapi tak ada stok dan kilang roti yang paling besar di Gaza juga sudah dibom," kongsinya kepada pemberita sebaik sahaja tiba di KLIA malam tadi.

Ketibaan pasangan itu disambut oleh ahli keluarganya termasuk kedua ibu bapanya, adik perempuan dan pegawai dari Kementerian Luar (KLN).

Terdahulu, media melaporkan Nurul Ain dan suaminya selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada Ahad (12 November), 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan sejurus selepas Nurul Ain dan suami tiba di Lintasan Sempadan Rafah, beliau dihubungi melalui panggilan video oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk bertanya khabar mereka berdua.

Pemindahan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, semasa lawatan kerja beliau ke Mesir pada 23 Oktober lalu serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

GRACE AISYAH KEDAYAN