fb fb fb fb fb

Diaspora di Shanghai main peranan martabat negara peringkat global

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Malaysia di Shanghai/FOTO RTM Jalal Baharuddin

SHANGHAI, 15 November - Diaspora Malaysia di luar negara boleh memainkan besar dalam membantu usaha kerajaan meningkatkan martabat rakyat dan negara di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mereka juga masih boleh menyumbang bakat dan kepakaran, meskipun tidak berada di dalam negara.

"Saya difahamkan terdapat ramai rakyat Malaysia yang tinggal di China yang telah lama menyumbang kepada hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

"Saya juga dimaklumkan bahawa rakyat Malaysia di sini, baik secara individu mahupun berkumpulan, sama-sama memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Konsulat dan antara satu sama lain semasa episod pandemik di Shanghai, selain mematuhi arahan kerajaan tuan rumah.

"Di sinilah diaspora di luar negara boleh memainkan peranan dan menyumbang ke arah tujuan ini. Diaspora di luar negara boleh bertindak sebagai jambatan dari segi hubungan rakyat dengan rakyat dengan membantu memupuk pemahaman yang lebih baik dalam aspek rentas budaya dan fabrik sosial antara masyarakat di seluruh dunia," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama rakyat Malaysia yang tinggal di sini hari ini.

Kira-kira 160 diaspora Malaysia menghadiri majlis itu.

Fadilah turut memaklumkan mengenai usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi pembangunan ekonomi dengan memperkenalkan beberapa siri dasar baru-baru ini, iaitu Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk memacu ekonomi ke hadapan.

Fadillah kini dalam rangka lawatan sulungnya ke China selama tujuh hari bermula 12 Nov lepas.

GRACE AISYAH KEDAYAN