fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Perak sedia berpindah

(Penduduk terjejas banjir di SMART Batu 4, Teluk Intan)

TELUK INTAN, 14 November- Penduduk terjejas banjir melibatkan tiga kampung di daerah Hilir Perak, Teluk Intan sedia berpindah jika terdapat penempatan baharu disediakan kepada mereka. 

Bercakap kepada RTM, mereka berharap penempatan baharu yang lebih selamat diberikan agar musibah saban tahun itu tidak terus dialami.

Penduduk terjejas banjir, Rohayu Rasli berkata, "kalau boleh nak minta bantuan dipindahkan ke tempat lain. Setiap tahun keadaan banjir berlaku. Kami tak larat dengan kerosakan barang lagi. Kalau boleh kami nak pindah ke tempat lain."

Perkara sama turut diluahkan Rohani Ahmad, "Mak Cik tak sanggup lagi nak hadapi banjir macam ni. Kalau boleh nak perbaiki dalam rumah dengan menambah sikit pasir."

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan bersama kerajaan negeri untuk perancangan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan. 

(Datuk Zainol Fadzi Paharuddin melawat penduduk terjejas banjir Teluk Intan)

"Saya akan minta kepada pentadbiran daerah khususnya Pegawai Daerah untuk melihat semula keputusan atau hasil daripada lawatan NADMA pada 2019 atau 2020.

"Saya minta kalau boleh dipercepatkan kelulusan supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera."

Beliau ditemui pemberita di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4.

Di Perak, jumlah mangsa banjir terus meningkat. 

Setakat ini tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di negeri itu.

Daerah Hilir Perak mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 45 keluarga diikuti Larut Matang dan Selama seramai 26 keluarga, Kerian tiga keluarga dan Kinta dua keluarga.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Perak ketika ini melibatkan tiga daerah seramai 84 keluarga dengan 290 mangsa. 

Media Baharu