KUALA LUMPUR, 3 Februari - Bilangan penduduk terjejas banjir di Raub sedikit berkurangan iaitu 27 penduduk daripada 11 keluarga, setakat pukul 8.00 malam ini.
Mereka di tempatkan di satu pusat pemindahan sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai.
Laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporlan jumlah itu berkurangan berbanding 28 orang daripada 12 keluarga petang tadi.
Sementara itu, tinjauan di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati paras beberapa sungai di Johor, Perlis, Sabah dan Terengganu berada pada tahap bahaya pada 8.00 malam ini.
Situasi itu melibatkan Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor), Sungai Arau di Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan di Kinabatangan (Sabah) dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).
NADMA turut memaklumkan 16 jalan ditutup akibat jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Pahang; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli di Hulu Perak, Perak; dan Jalan Lingkaran Kahang Barat di Kluang serta Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.