fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Kelantan meningkat

(Foto fail)

PASIR MAS, 13 November- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan terus meningkat apabila 1,706 orang membabitkan 559 keluarga direkodkan berbanding 1,681 daripada 552 keluarga pada 8.00 malam tadi.

Susulan itu, sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beroperasi malam ini.

Menurut Portal infobencana JKM, setakat jam 11.00 malam ini, PPS SK Kedai Tanjong di Pasir Mas dibuka bagi menempatkan 25 penduduk daripada tujuh keluarga untuk berlindung selepas kawasan kediaman mereka mula dilanda banjir.

PPS Sekolah Kebangsaan Tok Deh, di Pasir Mas yang dibuka sejak 6 November lepas, mencatatkan 668 penduduk terjejas.

Lain-lain PPS yang dibuka masing-masing, SK Kubang Kual, Putat Tujoh,SK Sri Kiambang, Masjid Mukim Padang Licin, SK Gual Periok, SK Gual Sitok dan SK Kedai Tanjong.


(PPS Sekolah Kebangsaan Tok Deh, di Pasir Mas yang dibuka sejak 6 November, mencatatkan 668 penduduk terjejas/Foto Fail)

Sementara itu, Laman Web Rasmi public infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan, paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang menunjukkan trend menurun namun masih melebihi bahaya iaitu 9.69 meter.

Manakala, stesen Kg Jambu (Kuala Jambu) Tumpat merekodkan bacaan 2.11 meter melebihi paras waspada.

Dalam pada itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Jajahan Pasir Mas Kapten (PA) Mohd Arif Mohd Zain ketika dihubungi berkata, pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) hari ini membantu memindahkan beberapa penduduk di Kg Serongga untuk ke PPS SK Seri Kiambang selepas kawasan itu terputus laluan berikutan
air naik sehingga paras dada.

Bagaimanapun cuaca hari ini dilaporkan baik.

Media Baharu