fb fb fb fb fb

Layak, laksanakan tanggungjawab mengundi- Annuar

KUALA LUMPUR, 14 November- Orang ramai yang layak diseru melaksanakan tanggungjawab mengundi calon pilihan masing-masing pada 19 November ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata hak mengundi adalah dijamin menurut perlembagaan.

Rakyat juga disaran meneliti dan menilai sendiri personaliti, parti mahupun ideologi yang dibawa setiap calon yang bakal menerajui kepimpinan negara kelak.

"Terpulanglah sama ada parti atau personaliti, yang penting yang bakal kita pilih mestilah kelompok orang yang berintegriti dan berwibawa, sesuai dengan gelaran yang berhormat biarlah benar-benar orang yang dihormati, kata Annuar ketika ditemui selepas siaran langsung program Naratif Khas PRU15 di Angkasapuri.


(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa)

Sementara itu, berkenaan konsep Keluarga Malaysia, beliau berkata meskipun dilaksana dalam waktu yang singkat, konsep tersebut berjaya dihayati segenap lapisan masyarakat sejak diperkenal 14 bulan lalu.

Beliau menegaskan falsafah pentadbiran tersebut memberi pemahaman dalam kalangan rakyat berhubung agenda pembangunan negara.

Kerjasama ditunjukkan seluruh jentera kerajaan menerusi agensi dan kementerian juga membuahkan hasil khususnya menerusi penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia.

"Kita harap konsep begini dapat diteruskan dan disambung kerana masih banyak lagi perkara yang ingin dilakukan.

"Kalau kita lihat pembentangan bajet Keluarga Malaysia 2023 sarat dengan program yang sudah tentu beri banyak kebaikan kepada banyak pihak," katanya.

Media Baharu