fb fb fb fb fb

Penduduk Padang Terap boleh ambil vaksinasi dos penggalak di mana-mana PPV daerah itu

PADANG TERAP, 6 Mac- Orang ramai terutama golongan belia digesa supaya mendapatkan suntikan dos penggalak masing-masing dengan segera.

Pengambilan dos penggalak penting bagi mencegah jangkitan menjadi lebih serius sepertimana yang diperjelaskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Padang Terap, Muhammad Jasnizam Husni berkata ibu bapa atau waris juga digesa supaya mendapatkan suntikan dos pertama untuk anak-anak yang berusia 5 tahun hingga 11 tahun.

Beliau yang juga Setiausaha Sulit Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata masyarakat terutama di kawasan luar bandar tidak perlu bimbang mengenai kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin.

Ini kerana pengambilan vaksin dan dos penggalak beri lebih banyak manfaat dan kebaikan.

"Bagi daerah Padang Terap, suntikan vaksin boleh diperoleh secara 'walk-in' di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah itu," kata beliau selepas menerima suntikan dos penggalak di PPV Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Kuala Nerang.


(Golongan belia yang hadir ke PPV bagi mendapatkan suntikan dos penggalak)

Terdahulu, dalam titah ucapan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, 28 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat Malaysia agar mendapatkan dos penggalak.

Ia bagi memastikan imuniti terhadap COVID-19 kekal pada tahap optimum.

"Pengambilan dos penggalak itu adalah sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu seperti Omicron yang sudah mula merebak di Malaysia."

"Meskipun Malaysia dilihat semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik namun, beta mahu peralihan itu dilaksanakan secara berhati-hati," titah baginda, Al-Sultan Abdullah.

Baginda turut menyokong Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan dan tindakan afirmatif kerajaan untuk mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti.

Media Baharu