fb fb fb fb fb

Komuniti setempat diperkasa menerusi agenda program TVET - PM

PONTIAN, 6 Mac - RM25 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) tahun ini bagi melaksanakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia disasarkan memberi manfaat kepada 25,000 pelatih.

"Kerajaan sangat komited memperkasa komuniti setempat menerusi agenda TVET yang merupakan manifestasi kepada usaha Kerajaan dalam membantu meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia.

"Dalam RMKe-12, Kerajaan telah mengenalpasti TVET sebagai satu daripada pemacu perubahan khususnya bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri.

"Justeru Kerajaan telah bersetuju memperuntuk RM6.6 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif bawah kementerian dan agensi berkaitan, termasuk JPPKK di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Kolej Komuniti Satelit @ Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Linggan, Benut, di sini hari ini.

(Ismail Sabri merasmikan Kolej Komuniti Satelit @ Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Linggan, Benut)

Ismail Sabri juga berkata banyak contoh membuktikan TVET mampu melahirkan pekerja mahir yang terlatih serta berupaya mencipta pekerjaan sendiri dengan berbekalkan kemahiran yang dimiliki.

"Saya boleh simpulkan di sini bahawa produk TVET termasuk juga kolej komuniti menjadi rebutan majikan di luar sana.

"Justeru itu, kolej komuniti berperanan besar dalam menawarkan akses kepada komuniti setempat untuk meningkatkan kemahiran," tambahnya.

Media Baharu