fb fb fb fb fb

Penduduk orang asli rayu baiki jalan rosak di Pos Brooke

Keadaan jalan di Kampung Mendrod, Pos Brooke, Gua Musang

GUA MUSANG, 12 Mei- Lebih 400 orang asli di Kampung Mendrod, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan merayu supaya pihak berwajib menaik taraf jalan perhubungan ke kampung itu.

Struktur jalan yang sempit serta rosak bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian penduduk, malah menyukarkan usaha pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk melakukan operasi menangkap serta memindahkan gajah liar di kawasan kampung tersebut.

Penghulu Kampung Mendrod, Alang Busu berkata, masalah yang dihadapi penduduk itu menjejaskan aktiviti harian termasuk untuk keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

"Kita orang kampung semua tiada mesin. Kita harap pihak syarikat yang ada kebun di sini, sama ada kebun sayur, durian, saya harap ambil tindakan untuk betulkan jalan itu. Sebab ini jalan utama bukan untuk orang asli sahaja, agensi lain juga menggunakan laluan ini", katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing berkata, jalan Kampung Mendrod akan didaftarkan sebagai jalan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Katanya, selepas mendapat kelulusan dan peruntukan, jalan Kampung Mendrod akan segera dinaik taraf demi keselesaan serta keselamatan penduduk kampung.

ROSLINA BINTI DIN