LIPIS, 12 Mei - Ibu bapa kepada baki 206 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri Kedua disaran agar memainkan peranan menasihati ahli keluarga mereka yang tersenarai untuk mendaftarkan diri dengan segera bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program tersebut.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, seramai 550 pelatih lelaki dan perempuan telah tersenarai untuk siri kali ini dan bagi mereka yang mempunyai sebarang kekangan masih dibenarkan mendaftar selewat-lewatnya pada 16 Mei.
Sehingga kini katanya, secara keseluruhan seramai 344 orang pelatih telah mendaftar semalam, dengan 206 pelatih lelaki di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang dan 138 pelatih wanita di Kem Rejimen 515 (AW), Kuala Lumpur.
"Saya harap dalam kalangan 550 orang yang terpilih yang telah melalui proses pemakluman tidak mempunyai isu seperti tidak diberikan hebahan dan seumpanya kerana semua maklumat telah diberikan kepada pelatih".
"Saya menyeru bukan sahaja kepada pelatih tetapi juga ahli keluarga supaya untuk sentiasa memainkan peranan masing-masing dalam memastikan (PLKN) 3.0 Siri Kedua dapat dijalankan dengan baik", katanya di sini.
Menurutnya lagi, pelatih yang gagal mendaftar dalam tempoh ditetapkan boleh dirujuk ke Bahagian Undang-Undang selaras Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kebajikan sempena Program Peduli Veteran Madani (PVM) di Lipis, Pahang, semalam. Dalam program itu, beliau menyantuni seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia, Hamidun Kamis, yang kehilangan kaki akibat jerangkap samar di Kampung Bapong, Lipis.
Seramai 30 veteran tentera dari daerah Raub dan Lipis disantuni dan menerima bantuan dalam program dua hari berkenaan.