KUALA TERENGGANU, 7 September -Penduduk sekitar Kuala Terengganu memilih untuk menebus bantuan penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 di kedai runcit berbanding pasar raya bagi mengelakkan kesesakan.
Tinjauan RTM mendapati proses penebusan SARA melalui program MyKasih di premis perniagaan runcit berjalan lancar pada hari kelapan pelaksanaan.
Rata-rata penerima bantuan meluahkan rasa gembira dengan inisiatif itu dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
Seorang pengguna, Suhaida Abd Rahman, berkata bantuan itu memudahkannya membeli keperluan harian.
"Alhamdulillah boleh beli keperluan dapur seperti beras. Saya datang awal supaya tidak ganggu orang lain jika sistem tergendala," katanya.
Bagi Mohd Solihin Razali, SARA sangat membantu meringankan beban golongan B40.
"Terima kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan untuk mengurangkan beban rakyat," ujarnya.
Seorang lagi pengguna, Nurul Nadiah Sulong, memilih kedai runcit berhampiran rumah kerana lebih mudah.
"Dekat dengan rumah, memang biasa beli di sini. Terima kasih kepada kerajaan atas sumbangan ini. Harap tahun depan ada lagi," katanya.
Sementara itu, Fauzi Ismail pula mencadangkan jumlah bantuan ditingkatkan. "Kalau pergi pasar raya besar memang sesak, kalau kedai ini lebih mudah," katanya.
Dalam pada itu, Penolong Penyelia Pasar Raya Xiri Kuala Terengganu, Hasyiru Naim Abd Rasid, memaklumkan sistem penebusan kini berjalan lancar tanpa masalah.
"Selepas hari ketiga pelaksanaan, semuanya positif. Sistem stabil, waktu puncak pun tiada masalah. Respons pelanggan sangat baik," katanya.
Pengguna dinasihatkan merancang waktu yang sesuai untuk penebusan bagi mengelakkan kesesakan di kaunter pembayaran di premis terpilih.